Blogger Backgrounds

Saturday 10 December 2011

Falsafah Pendidikan Islam

Pendidikan Islam adalah suatu usaha berterusan untuk menyampaikan ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah bagi membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk membangun diri, masyarakat, alam sekitar dan negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat.

Falsafah Pendidikan Islam berusaha melahirkan individu yang soleh dan solehah,seterusnya melahirkan warganegara yang beriman dan beramal soleh. Ia juga berusaha ke arah melahirkan insan yang mempunyai keseimbangan dari segi kebendaan dan rohani. Oleh itu, insan yang dididik berasaskan Falsafah Pendidikan Islam akan bersifat Takwa,Iffah,Ikhlas,Benar dalam percakapan, Amanah dalam pekerjaan, Istiqamah dalam tingkah laku dan seterusnya memiliki sifat-sifat kemanusiaan yang tinggi.

Konsep Pendidikan Islam

Pendidikan dalam Islam merupakan kedudukan yang suci dan begitu penting dalam kehidupan kita. Kedudukan dan kepentingan pendidikan ini amat jelas apabila kita meneliti dan memahami ayat al-Qur'an yang pertama diturunkan. 
Firman Allah: 

  اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ (١)خَلَقَ الإنْسَانَ مِنْ عَلَقٍ (٢)اقْرَأْ وَرَبُّكَ الأكْرَمُ (٣)الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ (٤)

Bacalah (Wahai Muhammad) Dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan (sekalian makhluk),ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku, bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah,yang mengajar manusia melalui Pena dan tulisan.
(Al-Qur'an, Al-Alaq:1-4)

Berdasarkan ayat di atas, ia mengandungi perintah yang menyuruh manusia belajar mengenal Tuhan, memahami fenomena alam dan diri sendiri. Kehidupan manusia yang baik tergolong kepada prinsip akidah, ilmu dan amal. Pembahagian yang terdapat dalam pendidikan dalam Islam tidak bercanggah antara satu sama lain kerana ia bersifat saling melengkapi iaitu Tauhid. Dalam pendidikan ini, walaupun terdapat beberapa pembahagian ilmu seperti ilmu Akidah, Syariah dan Akhlak, namun ia tetap berada dalam satu lingkaran konsep bersepadu yang membawa keseimbangan antara akal dan wahyu.